Selasa, 5 September 2017

oi! oi! oi! ini MAT TIARA lah!

secara seriusnya aku ingat internet opis aku takleh nak buka blog. tapi aku silap. aku ingat blog ini sama taraf dengan facebook, youtube, twitter dan seangkatan dengannya. maklumlah pejabat gomen. 

last aku tulis dalam blog ini kira-kira 3 tahun yang lepas. giler babi punya lama. aku perati semua kawan-kawan yang tulis blog dulu-dulu satu bende pun diaorang tak tulis. oh ya, diaorang dah ada twitter. diaorang kekadang berkicau di twitter dan sekali-sekali diaorang menulis status yang panjang-panjang. tetapi kekadang status diaorang ke arah bende-bende susah aku nak faham. kekadang bende-bende viral yang kekadang aku kena cepat nak tahu bende apa yang viral. budak menyanyi sedap pun viral, boleh kata bende-bende yang kebanyakan orang suka atau like atau kongsi diaorang kabo viral. mampus lah aku malas nak peduli hal tu. oh ya aku lupa aku dah tutup facebook. kekadang aku tutup sebab aku boring baca status ko yang panjang-panjang, kedua aku boring jugak tengok ko tunjuk muka ko 24 jam, aku kekadang boring baca status korang kutuk sape entah aku pun tak tahu, aku boring ko sindir-sindir boss ko, kawan ko, yang bawak kete depan ko dan entah bende lagi lah aku pun tak faham dan tak larat nak pikir.

sekarang aku kat pasir puteh, real betul. dari gua musang yang tempat aku duduk 5 tahun aku kembali kepada satu daerah yang sebenarnya biasa aku lepak. bapak mertua aku orang pasir puteh so setiap kali rasa waktu raya dulu-dulu aku selalu balik pasir puteh. dulu jarak dari gua musang ke rumah bini aku dalam 3jam lah lebih kurang dalam 200 kilometer. sekarang jarak dia agak dekat lebih kurang 2 jam perjalanan dengan menaiki kereta proton persona dengan gaya kesopanan dan kesusilaan. pasir puteh kalau di lihat daripada sudut geografi melalui google maps di telefon ianya terletak tidak jauh dengan pantai. ini memang kena betul dengan jiwa beach boy yang selama ini aku pendam dalam jiwa. tapi aku just seronok tengok pantai, pokok kelapa dan bot-bot nelayan yang berlayar ke lautan mencari ikan.

secara seriusnya aku jarang menulis, aku dah semakin jauh dengan Neon Terbit, sepatutnya aku menulis untuk Neon Berapi tetapi disebabkan beberapa masalah teknikal dan perasaan marah kepada pipiyapong aku malas sangat nek bersungguh menulis. last sekali menulis dalam bolosepok.com. itu pun entah siapalah pergi ceroboh laman web yang yang paling power tentang bolasepak di semenanjung malaysia. aku tak pasti. aku banyak bende nak tulis. kancil-man3, mat tiara 3, jabatan runsing negara, cinta buatan asrama penuh, hikayat seri tempoyang, salleh skinhead, subang jaya yang gagah lawan gagak hitam yang lemah dan cerpen-cerpen mat tiara dan banyak lagi projek menulis yang bercorak indie tapi entah bende aku datang malas. scene buku semakin slow. inilah akibatnya kalau kita bersahabat dendan golongan kapitalis yang menyamar sebagai budak indie. ini adalah bahaya. Aku yakin Neon Terbit terus bertahan sebagai sebuah penerbitan alternatif yang berjasa kepada korang semua. cuma aku macam tak puas hati sikit bila Neon Terbit keluarkan buku berbahasa english yang agar urban dan tajuknya tidak melambangkan 'bahasa jiwa tempoyang' tapi okaylah sekurang-kurangnya Neon Terbit ada penulis wanita yang aku rasa tak lah cun sangat orangnya.

Ok. Aku ingat nak sambung buat NEON ZINE #7 dan menulis bende-bende yang sia-sia namun mampu menjadi pengajaran kepada semua manusia dan aku harap korang dapatlah menyokongnya demi budaya penulisan alternatif.

Mat Tiara

Khamis, 7 Ogos 2014

Mat Tiara Okay

mula-mula perasaan rindu menulis dalam blog ni datang dalam pelbagai bentuk. bila aku bawak kereta, rindu menulis untuk blog datang dalam bentuk perkataan-perkataan seperti 'kurangkan laju', 'awas kawasan kemalangan ' dan juga 'ikut kiri kecuali memotong' tapi ini satu perkara yang serius. bila aku jumpa perkataan 'berhenti' di jalan raya. datang satu perkataan penuh dengan ayat lengkap berbahasa melayu yang berbunyi 'mengapa berhenti menulis blog?'

sebenarnya aku tak berhenti menulis. aku menulis secara sedikit demi sedikit dalam twitter. kata orang, twitter ini satu blog yang mikro. aku kagum dan tepuk tangan dalam hati.

serius aku nak menulis. aku akan kembali. mat tiara okay dan akan terus okay.

gua musang
hari ini.

Rabu, 23 Oktober 2013

dunia kita yang sentiasa berputar.

dunia kita berputar. tetapi secara realnya kita tak menyedari yang dunia kita ini berputar. tetapi  dengan pengetahuan yang ada kita tahu bahawa dunia ini berputar. pemerhatian para cendekiawan tentang pertukaran siang dan malam sehingga menghasilkan kalendar menjadikan kita sedar bahawa dunia kita ini berputar. 

aku berada di gua musang. aku dah kembali duduk secara normal setelah mendapat rumah yang agak sesuai untuk aku diami. bilik yang aku duduki sekarang mengingatkan aku kepada bilik revolusi yang pernah menjadi teman bicara dan teman bisu semasa aku berada di kuala lipis.

gila. dunia ini bagaikan berputar apabila setiap malam aku mengadap dinding bilik sambil berkata kata bahawa keseorangan itu tidaklah seberapa indah dan aku perlukan kompeni untuk berbicara. dulu dalam bilik revolusi aku aku ditemankan dengan sebuah radio, sebuah komputer dan zine zine. hari ini, aku ditemankan dengan sebuah laptop percuma dan buku buku.

aku harap biarkan sahaja dunia ini berputar. dan aku harap juga agak kehidupan aku tidak berputar. 

notakakis : #kancilman2 akan keluar tak lama lagi. harap bersedia.

Jumaat, 27 September 2013

mat tiara okay.

sedih sebenarnya bila tengok blog ni. sedih. tak tahu macam mana nak digambarkan kesedihan bila aku dapati blog ni dah lama tak ada orang nak menulisnya. ok aku tulis sebab aku rasa aku kena menulis. aku menulis jugak sebenarnya. tapi lebih banyak kepada menulis tweet tweet. menulis tweet tweet dalam twitter ni sebenarnya perlu seni. seni bende entah tapi aku rasa perlu seni. kalau orang suka orang akan RT. rt ni lebih kurang macam mengulangi tweet tweet kita. mungkin yang rt tu pikir tweet kita sesuatu yang bagus, mungkin ada rasa kelakar, mungkin ada ilmu, mungkin sedap dan banyak sangat kemungkinan.

aku ok dan aku rasa aku ok.

ok aku masih kat gua musang. hujung minggu aku balik kuala terengganu. dalam 5 hari berkerja aku akan balik lipis. dalam seminggu bekerja juga kalau ada mesyuarat peringkat negeri aku akan ke kota bharu. bila aku pikir dalam dalam aku rasa macam aku berkerja macam drebar lori dan kekadang aku pikir aku ni merupakan pemandu kereta peringkat zon timur.

aku ok dan aku rasa aku ok.

di gua musang aku menyewa disebuah rumah batu yang cukup strategik. rumah aku belakang econjaya. agak agak tak puas hati dengan econjaya aku akan pergi membeli belah. kekadang aku pergi econjaya tanpa apa apa tujuan yang nyata. ada pernah sekali tu aku pergi econjaya dalam keadaan cukup rock. aku pergi tak bawak dompet.

di kuala lipis aku tak ada ramai kawan. kalau balik lipis kalau pp ok dan emosi dia stabil aku akan lepak dengan dia. kekadang dengan anak ustaz maiyudin. dia dah ada studio gambar. kekadang kalau aku tak puas hati dengan tokmat aku akan lepak studio. biasanya aku lepak dengan pp sambil bincang hal buku. kekadang aku tak faham langsung hal apa yang diborak. yang paling real dah lama aku tak borak dengan amat kiamat.

balik terengganu aku tak banyak hal aku buat. aku fokus 100 peratus macam orang negara maju buat. aku lepak dengan keluarga aku seratus peratus pada hari jumaat dan sabtu. kekadang aku terpaksa buat sombong tak angkat telefon bila kawan2 terengganu telefon. kalau ada meeting kota bharu aku lagi real. aku lepak dengan nenek aku sambil bincang hal-hal keluarga, nasik sedap ke tidak, nenek antara sihat dan tak sihat dan sebagainya.

aku okay aku okay.

lepas novel separuh siap kancilman keluar aku laptop aku rosak. lama jugak aku berpikir macam mana aku nak dapatkan laptop baru tanpa aku keluar duit. aku ada kasi idea pada pp nak buat mat tiara 2. tapi pp tak ambik pusing. tiba tiba aku jumpa kawan aku adik dan juga pemilik syarikat buku poket press. bincang punya bincang maka setuju dan adik terus pergi beli laptop untuk aku. sejak tu aku rasa poket press ni power dia lebih power dari neon terbit.

ramai cakap neon terbit ni aku dengan pp punya syarikat. tapi bila aku pikir balik neon terbit ni sebenarnya pp punya syarikat. aku cuma kasi idea dan kebanyakan bende bende semua pp buat. jadi kekadang aku rasa bersalah kalau aku cakap neon terbit ni aku yang punya. so sekarang korang kena faham bahawa aku ni cuma penulis untuk neon terbit dan idea buat neon ni boleh kata idea separuh separuh antara aku dengan pp. demi melaksanakan idea ini maka pp mendaftarnya sebagai sebuah syarikat multinasional dan booommm...kitaorang bangkit sebagai player dalam scene buku alternatif malaysia dan apa yang penting ialah pemasaran politik dalam neon terbit..

so sekarang ni mat tiara 2 dah keluar bawah poketpress. mat tiara 2 cerita pasal kuala lipis. mat tiara 1 pasal mrsm dan tempat aku belajar. pada pandangan aku mat tiara 2 paling real seronok sebab aku tulis dengan penuh romantik untuk mengingati scene scene bahagia aku bersama sama rakan rakan aku di kuala lipis.

lepas mat tiara 2 aku rancang keluarkan cerpen cerpen dalam buku cerpen antara aku dengan pp dan antara cerpen yang akan aku keluarkan nanti ialah "chenta seorang jurutera jalan" "putera gunung tahan versi hardcore" dan " tenggelamnya chenta mekanik kereta dan saintis " lepas tu aku nak siapkan kancilman2 dan lepas tu sebuah cerita cerita pendek "subang jaya yang lemah lawan gagak hitam yang gagah" amacam padu tak?

aku okay aku okay.

aku kat subang ni subang

Ahad, 31 Mac 2013

Hi kancil kancil

hi blog ammosham,

apa khabar kau blog? kau sihat? lama betul aku tak tengok kau. aku harap kau tak ambik hati dengan aku blog. aku sebenarnya ada saje kat dunia cyber ni blog, tapi aku perati orang dah macam tak baca blog jee sekarang ni. aku harap kau tak ambik hati dengan aku blog.

sejak tahun lepas aku kuat main tweet tweet ni blog. orang kata twitter ni mikro blog. kekadang aku rasa kelakar pulak dengan tweet ni blog. jadah apa kita nak kabo ke orang dengn 140hurut tentang kehidupan kita ni ye dak? apa lancaru 140 huruf tu yee tak blog.

blog, kau power blog. sebab tu lepas aku ok sikit dari hidup aku yang sibuk ni, untuk makluman kau , kehidupan aku berada diataas rel keretapi dan jalan raya blog. kekadang aku rasa aku ni hamba rel keretapi dan jalan raya. tapi aku tak kisah tu semua blog. hidup ini mesti diteruskan.

blog aku nak beritahu kau sesuatu. pagi tadi aku RT banyak giler pasal mat tiara dan kancilman dalam tweet aku. tiba tiba aku kena sekat. fuck dia kata kat aku tweet aku kena limit.

freedom of choice jadahnya aku tak faham dengan tweet ni. aku betul betul tak faham.

dia sekat hidup kita dengan 140 huruf dan kita kena sekat sebab banyakk sangat RT. banggang kan,banggang kan blog.

blog, aku busy ni aku busy.

Isnin, 24 Disember 2012

Kuala Lipis - Gua Musang

kuala lipis dengan gua musang tak jauh mana. ada laa dalam 120km. kalau bawak rileks rileks ada laa dalam sejam setengah kot aku rasa. 

jalan teruk sekarang. dia punya teruk tu kekadang rasa nak marah jee bila terlanggar lubang. aku sendiri tak tahu sama ada aku nak marah lubang ke, kereta ke, nak marah diri sendiri ke atau rasa nak marah ke menteri jalan raya. bende bende macam ni real dan mengelirukan.

dalam hal ni aku teringat tulisan tun mahathir dalam Doktor Umum. dia ada cerita pasal keretapi. power jugak dia punya impian untuk melihat semua rakyat malaysia dapat berkeretapi. bende macam ni aku sokong. 

hari tu aku pergi kolompo. aku sebenarnya puas hati betul dengan perkhidmatan macam lrt, komuter, dan seumpamanya dengannya. bende bende macam ni power.

aku tengah pikir ni tentang sistem komuter dari kuala lipis ke tumpat dan dari kuala lipis ke woodland. aku pikir sudah tiba masanya geng pantai timur ada sistem keretapi yang power macam blah pantai barat. kalau boleh biar laa ada 2 rel. daripada buat bangunan tinggi-tinggi, hal hal seperi dua rel ni perlu dimasukkan dalam bajet 2014 atau 2015 nanti. 


Isnin, 26 November 2012

stereo genmai - fantastic fear of everything

buku ni aku tak beli. buku ni pp punya. pp tengah baca aku ambik bawak balik rumah. sebenarnya sebelum baca buku ni ada orang dah pesan aku supaya berhati hati bila baca buku ni. tapi aku ok. aku tak dengar cakap orang.

sebagai penulis aku tak dapat nafikan bahawa minda manusia ni kekadang akan mengalami kecederaan otak.  bahasa sastera kecederaan otak ni ialah writer's block. kecederaan ni otak ni sangat bahaya, aku dulu pernah kena sampai satu tahap tak tahu nak tulis apa.

kekadang selepas mengalami kecederaan otak kita akan menghasilkan penulisan yang sedap . sebab semasa kecederaan otak tu kita akan berada dalam keadaan stim, bawah bawah sedar yang paling bawah, kecelaruan fikiran dan panas baran. yang panas baran tu aku reka.

Stereo genmai (SG) ni sedap. aku suka baca sebab dia bawa pikiran kita berjalan-jalan. pikiran apabila dibawa berjalan jalan akan melahirkan perasaan yang pelik pelik. kita kena pandai bezakan fikiran yang dibawa berjalan dengan perasaan yang dibawa berjalan jalan.

lepas baca buku ni aku rasa letih. letih sebab yang pertama fikiran aku dibawa berjalan jalan dan keduanya ending buku terbang babak last sekali tu power.

percaya lah. lepas korang baca buku ni secara jujurnya aku mintak korang tengok movie Fantastic fear of everything.

korang ingat senang nak jadi penulis buku? korang kena giler dulu. kena giler dulu.

Selasa, 20 November 2012

menulis

suka tak suka tweet menjahanamkan minat untuk menulis dalam blog. dulu semua suka baca blog. lepas tu semua suka dengan facebook. lepas tu semua suka dengan twiitter. kekadang aku pikir dunia ni entah bende bende. banyak sangat hal nak kena kejar.

aku ada seorang member dalam kerja. umur dia dalam 50 lebih lebih. member ni dia punya umur baya dengan dengan mak aku. manusia yang berumur macam ni ramai jugak yang takut dengan komputer. aku kagum pulak kekadang.

bagi aku manusia yang takut dengan komputer ni ialah manusia yang terpilih oleh tuhan untuk menjauhi komputer. jarang manusia takut dgn komputer.

sebenarnya suka tak suka kalau diteliti elok elok komputer sebenarnyabanyak menjahanamkan manusia. menjahanamkan hati dan perasaan manusia, menjahanamkan nilai nilai murni dan tatasusila manusia, menjahanamkan kesopanan dan kesusilaan manusia dan menjahanamkan moral manusia.

komputer ni dalam keadaan gaza sekarang  aku pikir alat jahat yahudi. aku pikir jee la.

Isnin, 15 Oktober 2012

Mat Tiara

canggih canggih canggih

Demi sebuah Pejuangan

semalam aku dapat cuti. jarang-jarang dalam hidup ni pergi kursus dapat cuti sehari. mungkin kursus ni susah agaknya sampai kena kasi cuti.

semalam jugak pade kahwin. pade ni jiran aku sejak aku kecik lagi dari flat tempoyang. sekarang ni rumah dia belakang rumah aku. disebabkan kenal sejak kecik maka secara auto aku kena laa pergi dia kahwin. dah laa masa adik dia faizal kahwin aku tak sempat nak pergi. tapi semalam aku tengok faizal dah maju. anak 3. anak pertama kembar. power tak power faizal ni.

disamping tu juga aku sempat laa jumpa mail sama hilman. diaorang ambik gambar. power jugak cara diaorang ambik gambar. tapi isu mail tak keluar rumah malam sebenarnya jadi isu dalam meeting neon terbit. punca tak keluar malam ni entah kenapa aku tak tahu. mungkin sebab makwe, mungkin sebab hantu atau mungkin sebab facebook.

habis makan aku keluar dewan diikuti jamal. sampai keluar aku terserempak dengan ustaz maiyudin, ada sedikit dialog untuk dikongsi bersama.

" ha hisham, aok bila balik? " tanya ustaz maiyudin

" saya kerja gua musang dah lee ni ustaz.."

" aaa..bagus laa gitu...senang sikit nanti..."

" senang bendenya niii ?"

" senang laa tolong-tolong PERJUANGAN kat sini...PERJUANGAN kita..."

lantas dengan tenang aku jawab,

" Isyallah, bende kecik jee ni ustaz. saya akan tolong punya..."

kami saling bertukar senyuman.

atas motor aku pikir payah jugak kalau kena pacak bendera PAS kat tempoyang tu. apa entah kata najib nanti.

Selasa, 9 Oktober 2012

Kutuk kutuk Keretapi

katakan ko sudah bekerja di suatu tempat lebih kurang 10 tahun. dalam tempoh 10 tahun itu ko boleh dikatakan telah berjaya dalam hidup. kau dapat isteri yang baik, bapak mertua yang banyak harta dan juga anak-anak yang comel. kau sangat bahagia disana. kau rasa disana hujan emas manakala rumah kau disini hujan batu. kau rasa kau suka dengan hujan emas.

tiba-tiba tanpa petir dan guruh hidup kau di landa hujan diantara batu dan emas. kau katakan hujan perak. tapi kau tak anggap perak bernilai sangat. kau mahu gangsa. kau pikir gangsa menjadikan hidup kau sedikit bahagia. kau jadikan pandelela sebagai idola kau. dapat gangsa dan kau tiba-tiba jadi kaya.

tiba-tiba aku rasa mengantuk. aku sambung nanti. diluar mahu hujan atau tidak aku tak tahu. tak tah faham dengan cuaca.

Isnin, 1 Oktober 2012

Tok Mat


dipendekkan cerita Tok Mat ni jenis manusia garang. prestasi garang dia dalam usia emas ni pun boleh dibanggakan. ada satu hari aku naik kereta dengan tok mat, dia bawak kereta sebab aku jenis kurang mahir bawak manual.

tiba-tiba ada sebuah kereta buat onar pintas kereta dia tanpa mengikut peraturan jalan raya. sebab dia bekas polis maka secara auto dia menjadi marah. dah tok mat macam biasa kejar kereta wira bikin tu dengan kancil manual biasa. aku geleng-geleng kepala tanda kagum. namun syukur dia dah tua dan tak aku rasa kondisi badannya membuatkan dia malas nak marah marah sangat.

masa kecik perkara paling sedap dalam dunia bila tok mat pergi out station. masa tu punya laa enjoy hidup. main bola dalam hujan ok, balik lambat maghrib ok, cari biji getah masuk hutan ok dan main terup sampai tak ingat dunia pun ok. ok laa sebab masa tu budak budak.

tapi sekarang ni bila pikir balik garang tok mat ni ada asas-asas yang jitu untuk diikut. tapi sebagai bapak yang belajar pembangunan manusia aku jenis tak apply garang-garang ni kepada anak-anak aku. sebab apa aku taknak anak aku tak happy bila aku balik rumah. 

tapi bila kita tak garang tapi bini kita garang, kaki anak kita boleh sampai kepala kita. korang faham tak? anak aku berani tumbuk perut aku tapi tak berani nak cubit mak dia. korang nampak tak berapa tak garangnya aku?

notakaki : tugas hakiki tok mat sekarang ialah hantar aku pergi stesyen keretapi pukul 5 pagi dan ambik aku pukul 9 malam. entah garang ke tidak dengan tugas hakikinya sekarang.

Khamis, 27 September 2012

Bunohan

aku ada tanya Tok Mat pasal Kg Bunohan. Kata Tok Mat Kg Bunohan ni jauh dengan kampung dia iaitu Kg Kelong tapi masih lagi dalam jajahan yang sama iaitu Tumpat. kata bapak aku Kg tu kg campuran pasal banyak orang Siam sama melayu duduk situ.

Bila filem Bunohan ni keluar aku sebenarnya memang nak pergi tengok kat wayang tapi korang tahu laa betapa sepinya Kuala Terengganu dan Kota Bharu bagi aku sebab sampai sekarang masih takada panggung wayang. kalau ada kat Terengganu pun ada kat Kemaman.  Disebabkan zaman canggih maka filem ni ada kat Astro First. sebagai seorang yang suka menonton dan membaca filem maka aku order Bunohan ni.

aku tengok filem ni 3 kali. pertama tengok dia dah start bertumbuk. kata orang awalan filem ini adalah rumusan kepada keseluruhan filem ni. pertama kali tengok aku tak faham. art dia tinggi sangat. sebagai seorang individu yang tak belajar pasal filem maka aku pikir Bunohan mungkin tentang kasih sayang, mungkin pasal kurang ikatan kekeluargaan, mungkin juga tentang kemodenan dan anti kemodenan dan kekadang macam ada unsur-unsur mistik aku tengok. masuk kali ke-2 pun aku masih lagi tak faham tapi aku dah rasa best bila tengok cerita ni. kali ke 3 aku tengok aku just nak rasa enjoy dengan bahasa-bahasa kelantan yang sedap untuk didengar dan sebagai orang kelate aku rasa nak gelak jugak bila 2-3 orang pelakon yang bukan orang kelate bercakap bahasa kelate. orang kata 'teelo'

tapi masa tu aku tengok Pekin Ibrahim punya lakonan memang power. entah apa bende entah aku suka betul dengan lakonan Pekin sebagai Bakar. Bakar mengingatkan aku dengan seorang dua rakan aku yang muka nampak baik tapi perangai macam setan. dalam pikiran aku Pekin Ibrahim ni boleh pergi jauh dalam seni lakonan malaysia. aku sebenarnya jarang-jarang minat pada pelakon-pelakon filem ni. sekarang ni pun aku minat seorang pelakon iklan lelaki yang berlari memegang bendera. Sejak berlakon iklan ni jarang-jarang dia bbm aku. 

Masa kat Jb itu hari aku sempat jumpa Pekin, kasi buku Mat Tiara satu lepas aku kata kat dia,

" kawe minat sungguh lakonan demo ni boh..kelah! "

notakaki : Jangan lupa buku Pekin bertajuk Memoir Bukan Memori. Aku syak Pekin ni Punk Rock masa muda-muda dulu. 



Buku Puisi

bila aku baca buku puisi proses berfikir aku lama sikit. aku akan cuba memahami setiap bait bait dalam sajak sajak yang ada. setiap patah perkataan perlu di baca berhati hati agak aku faham maksud yang cuba disampaikan oleh penulisnya. sebab tu sampai sekarang aku takleh into buku puisi sangat. lagi pun sekarang ni aku sibuk bertweet-tweet.


Isnin, 24 September 2012

pos-punk-hc-rock

aku memang rindu nak menulis dalam blog ni. aku rindu sangat. blog ni macam satu ruang yang bebas untuk kita menulis apa yang kita suka. ya benar, apa-apa yang kita suka. aku suka tulis dalam blog sebab ia merupakan ruang kebebasan untuk kita menulis. asalkan apa yang kita tulis ni tidak menghina orang lain. aku ada konsep kebebasan yang sedap. aku tak ingat mana dan dari mana aku belajar tentang konsep kebebasan ni. masa aku belajar sains politik dulu, aku mendengar banyak maksud tentang konsep kebebasan, keadilan dan kesamaan. sebab aku tak peduli sangat maka aku tak ingat.

 "kebebasan tu boleh aku takrifkan dengan berjalan-jalan sambil menghayunkan setinggi mana pun tangan kita asalkan tangan kita itu tidak terkena kepada badan or tangan orang lain, tapi apa gunakan menghayunkan tangan kita itu tinggi-tinggi jika tuhan dah jadikan hanyunan tangan kita itu ala kadar" hari tu sempat jugak aku melihat aktiviti seorang lagenda punk rock hardcore yang aku kagumi iaitu Ian Mackaye. kalau korang tak tahu sape ian mackaye korang boleh google. google adalah tuhan pengetahuan di internet tapi jangan laa sembah google. takada paedah. aku kekadang rasa macam hamba google sehinggakan satu hari bila semut masuk telinga aku, aku lantas google " bagaimana untuk mengeluarkan semut dari dalam telinga.." banggg....google ada jawapannya.

 Ian mackaye berusia 50 tahun pada hari ni. dalam usia 50 tahun ni aku perati dia membuat kerja-kerja sukarela untuk golongan belia yang berumur 25 tahun kebawah dan fokus kepada kerja sukarela yang berkaitan dengan muzik dan juga art. kalau rajin boleh google the VERA Project. dalam satu dialognya Iac Mackaye ada bercakap tentang punk. ia dia kata dia masih lagi punk dan dia kata punk tak mati. punk adalah idea dan satu ruang. ruang untuk berfikir, ruang untuk meluahkan idea dan ruang untuk memcuba potensi diri dan sebagainya. kekadang aku pikir sekolah bukanlah sesuatu yang punk. dan semalam lepas aku berfikir secara laju ada mujurnya aku aku kenal punk masa dulu. dalam hidup manusia malaysia kearah menjadikan malaysia negara maju ni kerja-kerja sukarela ini merupakan satu kerja-kerja yang jarang-jarang orang ambik serius.

masa aku mula masuk kerja dulu dalam tahun 2001, ramai orang kata kesukarelaan dalam persatuan belia dah mati. yang ada cuma kesukarelaan berbentuk prepaid. ada duit ada sukarela. takada duit takada sukarela. bende ni memang real. bila aku tengok The Vera project aku dapati ada senarai penderma-penderma dalam menjalankan aktiviti-aktiviti kesukarelaan ni. memang panjang senarainya. kekadang aku pikir Ian Mackaye macam sell-out je. aku pikir je. aku tengah pikir. dan aku pikir Ian Mackaye tak berapa nak bebas dalam umur 50 tahun.

Khamis, 13 September 2012

Kuala Lipis ke Johor Bharu



9.00am - Komik-M

10.00am - Sesi Rasmi & Promo Terbuka untuk mana-mana penerbit buku.

11.00am - Sang Freud Press & Selut Press
1) Promosi Buku “Rahsia Dua Pria” Oleh Adiwafi & Mosyuki Borhan
2) Promosi Buku “Sepuluh Ribu” – Antologi Cerpen
3) Promosi Buku & Lagu “Langit Vanilla” Oleh Wani Ardy

12.00pm - Sindiket Soljah, Studio Anai-Anai & Neon Terbit
1) Promosi Buku “Rahsia Victoria” Oleh Bart Ahmad
2) Promosi Buku “Mat Tiara” Oleh Mat Tiara
3) Promosi Buku “Gasak” – Antologi Cerpen Aksi
4) Promosi Buku “Orang Hodoh Cantik” Oleh Stam Mustapha

1.00pm - Rehat

lepas rehat ni aku ingat nak pergi rumah terbuka raya budak junior aku masa mrsm dulu. lepas tu aku nak pergi singapore.

Selasa, 11 September 2012

Keretapi Melayu

sebelum aku naik keretapi tok mat telefon aku,

" kau jangan makan nasik. kau jangan makan nasik lagi. kat rumah banyak lauk "

sebagai anak yang baik aku jawab OK.

Keretapi lewat dekat dua jam dan dalam keretapi aku lapar macam rasa nak makan rel keretapi.

notakaki : cakap orang tua ni boleh didengar juga sekali dan sekala.

Jumaat, 7 September 2012

Kisah Percintaan Damansara

pada satu hari dalam bulan syawal aku kena pergi kolompo untuk bekerja. bekerja di kolompo ni bagi aku kalau sekali sekala tu sedap jugak. kalau kerja kat kolompo hari hari bapoknya tak sedap.

aku ingat lagi tarikh tu. hari tu 28 Ogos 2012. petang tu aku ada meeting kat putrajaya dan malam tu ada orang ajak main futsal rakankop lawan kopkiller. giler babi punya bahaya game ni. masa tu aku lepak damansara umah amar sama pp.

maka lepas main bola tu kitaorang pergi makan dan pekena berborak tentang hal-hal scene bola, percintaan dan jugak hal hal lelaki.habis berborak aku dan pp pergi tapau nasik kandar. makan nasik kandar jam 2 pagi ni jarang betul orang kuala lipis buat.

amar pergi masuk kereta malas nak tunggu pp dan aku tapau nasik. lepas tu dah bosan menunggu aku pulak pergi kat kereta sebab pp lambat sangat. kat kereta aku bukak bonek dan melipat baju dan mengemas kereta sedikit. maklumlah keretaku rumahku.

sedang sedap melipat baju pp terus masuk dalam kereta. amar tengah main sms dan tiba-tiba pp bukak kisah percintaan damansara. cara pp bukan cerita ni menarik lantas aku terus duduk kerusi belakang dan terus tutup pintu kereta.

dalam keadaan bercerita tu amar terus reverse kereta dan kitaorang menuju balik rumah. amar, pp dan aku kasi ulasan tentang kisah percintaan damansara. tak sangka diaorang ni ada prinsip-prinsip percintaan yang jitu.

tiba-tiba aku rasa macam bende jatuh. celaka betul bonek tak tutup. aku jadi panik gile sebab takut beg aku jatuh. dah laa ada komputer dan aku juga bawa barang-barang rahsia kerajaan dalam beg tersebut. tapi syukurlah yang jatuhnya plastik sampah.

siapa yang bersalah? pp bawak kisah percintaan damansara atau amar yang bawa kereta tak pandang belakang?

nasib baik takada padeli masa tu. kalau ada cerita ni mesti sampai syawal tahun depan.

Rabu, 5 September 2012

Keretapi Puaka

2 minggu ni memang aku letih tak patut. dari kuala terengganu aku pergi kota bharu, lepak kejap gua musang dan lepas tu terus pergi kolompo. sibuk raya tak habis lagi tapi tiba-tiba dan kena pergi kerja. aku tak kisah sangat pasal kerja aku ni pun bukannya jenis boleh kasi perang antara dua negara.

minggu ni macam biasa aku berulang balik dari gua musang ke kuala lipis. kuala lipis ni bandar dia tak laa besar macam kolompo tapi kat sini ada stesyen keretapi. power laa dari kuala terengganu tu.

maka petang semalam pun dalam 715 petang aku pun bertolak balik dari gua musang ke kuala lipis. sebab letih kolompo minggu lepas tu tak habis lagi masuk je keretapi aku tidur.

sampai satu tempat keretapi ni berhenti, tiba-tiba bunyi telefon dan aku tengok abah aku tok mat telefon.

"ha, mung ada mana ni? "

" apa? " aku tanya balik sebab line tak sedap nak ada.

" mung ada mana? abah tunggu kat lorong surat khabar karang. ada mana ni? "

" tol gombak ni. tol gombak. " aku jawab steady dan lancar.

tiba-tiba abah aku putuskan perbualan.

dalam 5 minit jugak aku berfikir.

lepas tu aku beristifar dan berdoa agak tok mat tak anggap aku anak derhaka.

Selasa, 14 Ogos 2012

Malam segala Malam Lepak

di malaysia kita ada banyak malam. ada malam merdeka, malam tahun baru, malam jumaat, malam raya, malam nisfu syaaban dan yang paling power ialah malam lailatulqadar kerana ianya lebih baik daripada seribu bulan. sah sah malam tu malam yang paling power.

tapi kita orang ahli ahli persekutuan hardcore kuala lipis ada malam yang kitaorang panggil "malam segala malam lepak". malam segala malam lepak ni merupakan satu malam yang aku rasa paling power sebab ia mengumpulkan kutu-kutu yang pernah menjadi kutu kat tempoyang. walau bagaimanapun kutu yang duduk diluar tempoyang seperti otam, ben dan ata juga diterima melepak kerana pernah main bola bersama.

biasanya pukul 11malam, semua dah gelisah nak keluar melepak. dikala semua orang sibuk tengok cerita melayu dimalam raya seperti senario dan misteri mimpi syakila semua kutu bergerak ke lokasi yang telah dijanjikan dengan perasaan yang tenang. ada juga keluar dengar target nak kutuk sape.

kekadang lokasi melepak tak boleh nak dijangkakan. ada satu musim tempat melepak yang biasa kitorang lepak ditutup sebab semua tokey tokey kedai balik beraya ke kelantan. masa tu aku takleh nak pegi betul. marah pun ada. ada ke patut pergi kedai beli air lepas tu melepak. kodi sungguh masa tu. tapi kekadang tempat lepak boleh tahan powernya. ada satu musim lepak kedai awek comel.

biasanya perbualan lepak kitaorang boleh jadi serius dan boleh jadi entah apa-apa. bab paling power bincang hal drama melayu. bab ni aku boleh pergi, ulasan-ulasan diaorang ni bijak-bijak. bab paling serius ialah hal bola, masa nilah padeli nak tunjuk dia punya pengetahuan am pasal arsenal. aku tak boleh pergi.

biasanya malam segala malam lepak ni kitaorang saling mengutuk. kira power laa sebab kata depan-depan. kalau kata belakang-belakang mengumpat namanya. biasa yang kerap kena padeli. tapi sejak dua menjak ni aku tengok padeli dah power buat counter-attack. biasanya dia punya serangan balas kena terus kat pp sama amar. biasanya amar kena teruk pasal dia yang paling kecik dan paling lemah dalam ramai-ramai. aku selaku yang paling tua dalam team melepak biasanya jarang kena attack.

so, berdebor jugak nak lepak pada malam segala malam lepak ni. aku ingat 4-5 hari ni semua ahli persekutuan dah bersiap dengan buku buku nota nak kutuk orang. bende-bende macam ni memang power tak patut. seorang ahli baru yang aku tengok boleh masuk ialah amat kiamat. amat kiamat ni jenis boleh melepak lama. cara amat kiamat berborak dan melepak dengan aku masa puasa hari tu nampak gayanya boleh pergi jauh.

aku harap tempoyang akan melahirkan lebih ramai kaki melepak macam amat kiamat. usaha murni dan positif yang dilakukan oleh pp dalam menjayakan misi melepak ni merupakan satu usaha yang boleh membangunkan manusia dengan lebih jitu dan beramanah. memang kena betul dengan tema NEON TERBIT,

" BERGAYA DAN BERWIBAWA "